Thursday, December 30, 2021

Apakah jenis-jenis galaksi yang ada?

SOALAN:

Apakah jenis-jenis galaksi yang ada?


JAWAPAN:

Galaksi dapat dikelaskan berdasarkan warnanya (merah atau biru), aktiviti di teras pusatnya (nuklei galaktik aktif atau galaksi normal) dan saiznya (gergasi atau kerdil). Tetapi secara amnya, ahli astronomi suka mengelaskannya dari segi bentuknya. Terdapat 3 jenis galaksi dari segi penampilannya: galaksi elips, galaksi lingkaran dan galaksi tidak regular. Galaksi elips kelihatan seperti gumpalan bulatan kabur di langit dengan pelbagai darjah kesipian, galaksi lingkaran mempunyai bar dan lengan yang membuatnya kelihatan seperti roda berputar, sementara galaksi tidak regular tidak mempunyai bentuk yang dapat dikenal pasti.



< Soalan Berkaitan Bidang Astronomi

Bagaimana kecerdasan buatan (artificial intelligence) telah menyumbang dalam bidang astronomi?

SOALAN:

Bagaimana kecerdasan buatan (artificial intelligence) telah menyumbang dalam bidang astronomi?


JAWAPAN:

Kecerdasan buatan adalah kecerdasan yang ditunjukkan oleh mesin, ini bermaksud bahawa kita boleh membenarkan mesin membuat keputusan untuk kita. Pada masa ini, astronomi telah berpindah tumpuannya dari teori ke arah berdasarkan data, ini disebabkan bahawa kita mempunyai berbilion-bilion data dan gambar objek samawi yang disimpan di internet. Sukarnya kalau manusia perlu membaca berbilion-bilion data bintang atau galaksi satu demi satu, jadi kita memerlukan bantuan komputer untuk memproseskan data tersebut.

 

Ahli astronomi boleh mengajar komputer untuk membuat kajian astronomi untuk kita, cara ini memberikan ‘kecerdasan’ kepada komputer kita. Sebagai contoh, ia dapat membantu mengenal pasti dan mengasingkan gambar galaksi dan bintang, memberitahu kita berapa jauh sesuatu bintang dari kita, memproses ribuan pengiraan dalam tempoh minit, mencari hubungan antara kecerahan dan jisim galaksi, dan sebagainya. Kecerdasan buatan membantu ahli astronomi melakukan tugas yang tidak dapat dilakukan oleh manusia yang batasan otak terhad, seterusnya membantu kita memahami alam semesta yang kompleks ini.


< Soalan Berkaitan Bidang Astronomi

Apakah itu 'Anjakan Merah (Redshift)'?

SOALAN:

Apakah itu 'Anjakan Merah (Redshift)'?


JAWAPAN:

Apabila cahaya melalui proses ‘anjakan merah’, secara fizikalnya ia bermaksud bahawa warna cahaya telah beralih dari warna asalnya menjadi lebih merah. Secara lebih teknikal, cahaya yang kita lihat mempunyai jarak gelombang yang berbeza, dan semakin besar jarak gelombang, semakin merah warnanya. Warna cahaya boleh berubah disebabkan pelbagai faktor, tetapi fenomena yang paling penting bagi anjakan merah dalam astronomi adalah pergerakan galaksi yang jauh dari kita. Semakin jauh galaksi dari Bumi, semakin cepat ia berpindah dari kita kerana alam semesta kita yang semakin mengembang besar. Ini bermaksud bahawa semakin jauh galaksi, semakin tinggi anjakan merah (i.e. galaksi biru yang jauh akan kelihatan merah).

Anjakan merah penting bagi ahli astronomi, kerana ukuran jarak galaksi yang sangat jauh sukar untuk ditentukan dengan tepat, jadi anjakan merah digunakan sebagai anggaran jarak bagi kita. Dengan kata lain, anda boleh mengatakan bahawa semakin tinggi anjakan merah galaksi, semakin jauh jaraknya dari kita.


< Soalan Berkaitan Bidang Astronomi

Apakah kepentingan penyelidikan rentas bidang (cross disciplinary) kepada bidang astronomi?

SOALAN:

Apakah kepentingan penyelidikan rentas bidang (cross disciplinary) kepada bidang astronomi?


JAWAPAN:

Penyelidikan rentas bidang perlu bagi menggalakkan inovasi dan merancakkan lagi perkembangan bidang astronomi. Ada kalanya hanya dengan bantuan bidang lain, barulah sesuatu kajian dapat diselesaikan. Contohnya, bidang kejuruteraan dan sains gunaan diperlukan bagi membangunkan instrumen bagi mencerap data astronomi seperti teleskop, antena, dan sebagainya. Bidang matematik diperlukan untuk membuat kiraan tepat pergerakan asteroid dan meramal kebarangkalian hentaman berlaku.  Roket ke bulan juga dicipta dengan menggabungkan pengetahuan pelbagai bidang bagi menjayakan misinya.


< Soalan Berkaitan Bidang Astronomi

Sunday, December 19, 2021

Bagaimanakah bidang fizik komputasi menyelesaikan masalah astronomi?

SOALAN:

Bagaimanakah bidang fizik komputasi menyelesaikan masalah astronomi?


JAWAPAN:

Fizik komputasi menjadi salah satu bidang yang sangat penting dalam menyelesaikan masalah astronomi dan astrofizik. Ianya banyak melibatkan penyelidikan teori, permodelan, simulasi, data analisis, statistik, pemprosesan imej, dan kaedah berangka kerana bidang ini melibatkan data yang sangat banyak dengan keperluan kapasiti memori komputer yang besar. Oleh itu teknik bermatematik dan pembangunan simulasi komputer amat perlu bagi memudahkan pengiraan dan pemodelan bagi memahami pergerakan serta perkembangan alam semesta. Contoh mudah ialah simulasi model sistem suria. Berdasarkan teori, maklumat dan fakta yang ada, kita dapat merangka dan membangunkan model sistem suria secara tepat mengikut kiraan sebenar membolehkan kita memahami dan melihat dengan lebih jelas bagaimana perjalanan alam semesta.

Contoh lain antaranya lagi ialah seperti cerapan spektrum radio bagi matahari yang dibuat tanpa henti selama bertahun-tahun bagi keseluruhan 24jam dengan kekerapan paparan data adalah pada setiap 15 minit menggunakan instrumen CALLISTO (Compound Astronomical Low frequency Low cost Instrument for Spectroscopy and Transportable Observatory) di lebih 100 stesen cerapan seluruh dunia. Data spektrum dijana tanpa henti dan pengesanan kewujudan fenomena letusan suria dan pengkelasan jenis letusan perlu dibuat secara manual dengan melihat setiap spektrum satu persatu. 

Oleh itu, teknik pemprosesan imej spektrum automatik menggunakan komputer perlu dibangunkan dengan menggunakan kaedah bermatematik, statistik dan kaedah berangka bagi mengesan fenomena letusan suria bagi memudahkan kajian berkenaan aktiviti matahari dan penyelidikan cuaca angkasa. Kajian berkenaan aktiviti matahari biasanya memerlukan data selama 11 tahun untuk satu kitaran matahari yang lengkap.


< Soalan Berkaitan Bidang Astronomi