Sunday, December 19, 2021

Bagaimanakah bidang fizik komputasi menyelesaikan masalah astronomi?

SOALAN:

Bagaimanakah bidang fizik komputasi menyelesaikan masalah astronomi?


JAWAPAN:

Fizik komputasi menjadi salah satu bidang yang sangat penting dalam menyelesaikan masalah astronomi dan astrofizik. Ianya banyak melibatkan penyelidikan teori, permodelan, simulasi, data analisis, statistik, pemprosesan imej, dan kaedah berangka kerana bidang ini melibatkan data yang sangat banyak dengan keperluan kapasiti memori komputer yang besar. Oleh itu teknik bermatematik dan pembangunan simulasi komputer amat perlu bagi memudahkan pengiraan dan pemodelan bagi memahami pergerakan serta perkembangan alam semesta. Contoh mudah ialah simulasi model sistem suria. Berdasarkan teori, maklumat dan fakta yang ada, kita dapat merangka dan membangunkan model sistem suria secara tepat mengikut kiraan sebenar membolehkan kita memahami dan melihat dengan lebih jelas bagaimana perjalanan alam semesta.

Contoh lain antaranya lagi ialah seperti cerapan spektrum radio bagi matahari yang dibuat tanpa henti selama bertahun-tahun bagi keseluruhan 24jam dengan kekerapan paparan data adalah pada setiap 15 minit menggunakan instrumen CALLISTO (Compound Astronomical Low frequency Low cost Instrument for Spectroscopy and Transportable Observatory) di lebih 100 stesen cerapan seluruh dunia. Data spektrum dijana tanpa henti dan pengesanan kewujudan fenomena letusan suria dan pengkelasan jenis letusan perlu dibuat secara manual dengan melihat setiap spektrum satu persatu. 

Oleh itu, teknik pemprosesan imej spektrum automatik menggunakan komputer perlu dibangunkan dengan menggunakan kaedah bermatematik, statistik dan kaedah berangka bagi mengesan fenomena letusan suria bagi memudahkan kajian berkenaan aktiviti matahari dan penyelidikan cuaca angkasa. Kajian berkenaan aktiviti matahari biasanya memerlukan data selama 11 tahun untuk satu kitaran matahari yang lengkap.


< Soalan Berkaitan Bidang Astronomi

No comments: